Wednesday 29 June 2016

Sumpahan Pak Kaduk & Ikan Tapah - Kami Dilarang Menyentuhnya.

"Mulai hari ini dan kehadapan, aku tidak menyabong lagi, dan aku, anak isteri aku, cucu-cicit aku, piyat-piyut aku, empas-empas endaun, entahkan ia entahkan bukan tidak boleh memakan, menganiaya atau mengkianati akan Ikan Tapah. Barang siapa melanggar sumpah ku, akan mendapat sakit gatal, melecur dan bengkak-bengkak, kiranya tahan badan tidak selamat hidupnya." Lafaz Sumpahan Pak Kaduk.

Pak Kaduk oh Pak Kaduk.....pastinya rata-rata belah kawasan Lambor ke Bota Kanan tahu kisah lagenda ni. Kisah ni telah diceritakan pada saya masa saya kecik-kecik lagi..dan satu pesanan dari orang-orang terdahulu..ingat! jangan sesekali makan ikan Tapah dan jangan jamah atau mendekatinya. Keturunan kita tak boleh makan ikan nih...jadi tanpa saya menyelidiki kebenarannya salah atau betul..tanpa banyak soalan ..pekara itu telah sinonin sebagai satu kepercayaan sejak saya berumur 7 tahun lagi.

Travel saya kali ini  mengimbau ke dunia yang jauh telah ditinggalkan beribu tahun yang lalu tentang lagenda di tempat sendiri serta kepercayaan orang-orang terdahulu. Ada yang mengatakan hal tersebut hanya mitos tetapi terdapat pulak tinggalan sejarah.

Bagi orang yang dari luar menganggap kisah ini sebagai satu cerita sahaja tetapi tidak kepada kampung yang terlibat...kisah yang sungguh pelik dan punya unsur seninya tersendiri  untuk dijadikan pengajaran di dalam kehidupan.

Mulanya saya tidak kisah sangat tentang cerita Pak Kaduk ni..kalau di google memang banyak kisah ini diceritakan termasuk ada salasilah keluarga dan keturunan Pak Kaduk ni...saya terdetik untuk membuat research tentang ni apabila pengembaraan saya yang akan datang ke Siak Indrapura ini ada bersangkutan dengan insan yang dikatakan Pak Kaduk ini yang berketurunan Siak Indrapura.....mungkin saya boleh melihat sendiri kisah anak raja ini yang menjadi raja biasa meninggalkan istana memulakan hidup baru di Tanah Melayu yang mana telah mempunyai keturunan yang turun temurun dari mulut ke mulut orang-orang terdahulu. Khabar yang diceritakan makam beliau terletak di sebelah Istana Siak. Insya Allah pada bulan hadapan ..jika berkesempatan boleh saya melihat sendiri pekara ini.

Melalui research yang saya telah find out.. sekilas yang terlintas di kotak fikiran saya ...melihat kejayaan masa lalu kerajaan Siak  membuka mata saya  betapa kaya dan jayanya Kerajaan Melayu ini.

Kisah ini dipetik dari blog keturunan Pak Kaduk di sebelah kawasan Lambor..rasanya rata-rata orang belah sini sama jugak dengan saya tidak boleh menyentuh ikan tersebut. Sekiranya terkena kena la mencari emas yang disimpan oleh salah seorang keturunan Pak Kaduk yang masih tinggal mengubati penyakit.


Ikutilah kisahnya.....
  
Kebetulan pada zaman itu, seorang pemuda berketurunan raja daripada Negeri Siak, Sumatera yang bernama Kaduk memulakan pelayaran datang ke Negeri Perak untuk mencari tempat baru, akhirnya telah sampai ke satu tempat di tepi Sungai Perak bernama Lambor (Menurut cerita mulut Pandak Logam) di Kampung Pulau, Lambor Kiri, di sana Kaduk diterima baik oleh masyarakat kampung dan akhirnya dijodohkan dengan seorang gadis kampung dan menetap beberapa lama di sana (Kampung Pulau Lambor Kiri). Kaduk mempunyai kegemaran menangkap ikan, mencari rotan dan menyabung ayam. Adapun menyabung ayam adalah satu permainan yang amat digemarinya

Pada suatu hari Kaduk ternampak seekor ular sedang menggonggong sebiji telur ayam dan meletakkannya di atas tanah berhampiran rumahnya, kemudian ular tersebut pun berundur dan menghilangkan diri. Kaduk pun mengambil telur tersebut dan dieramkan oleh ayamnya. Telur tersebut akhirnya menjadi seekor ayam sabung yang cantik dan handal dan dinamakan Biring Si Kunani. Ayam ini sentiasa menang dalam semua pertandingan sehinggakan semua penduduk termasuk pembesar Istana takut dan tidak mahu menyabung dengan ayam Kaduk. Kaduk menjadi resah kerana tidak menyabung dan akhirnya Kaduk menerima apa juga syarat yang dikenakan asalkan dia dapat menyabung ayam

Berita kehebatan ayam sabungan Kaduk mendapat perhatian daripada Sultan, lalu baginda mencabar Kaduk untuk menyabung ayam dengan syarat yang ditetapkan oleh Sultan. Syarat-syaratnya ialah: Ayam Kaduk hendaklah ditukarkan dengan ayam Sultan yang bernama Si Jalak Putih Mata . Pertaruhannya adalah kampung halaman dan isi rumahnya

Kaduk akan diberikan sebahagian kuasa memerintah dan kawasan negeri jika ayam Sultan kalah.Tanpa berfikir panjang Kaduk menerima syarat-syarat tersebut kerana sudah lama tidak menyabung ayam.

Sebagaimana yang dijangkakan pada peringkat awal, ayam Kaduk yang ditukarkan dengan Sultan telah menang. Kaduk pun bersorak kerana ayamnya menang, tetapi dia lupa bahawa ayam itu telah menjadi milik Sultan. Setelah pengumuman dibuat baru lah Kaduk sedar bahawa dia telah dipermainkan oleh Sultan.

Maka dengan berpegang pada janji dan syarat penyabungan Kaduk terpaksa menyerahkan kampung halamannya, isteri dan anak perempuannya kepada Sultan, hanya yang tinggal pada Kaduk sehelai sepinggang dan seekor kucing kerana masa Sultan mengambil pertaruhan kucing tersebut tiada di rumah, kalau tidak semuanya akan menjadi milik Sultan.

Kaduk pun berundur ke sebuah pulau (Pulau adalah satu tempat di tepi tebing Sungai Perak dimana orang menanam padi Huma) bersama kucingnya dan tinggal di sebuah dangau. Sambil Kaduk memikirkan masa hadapannya kucing itu datang sambil mengiau-ngiau dan mengigit kaki kaduk seakan memberitahu sesuatu, puas juga dihalau kucing tersebut tetap juga begitu.

Kaduk pun mengikut kucing tersebut ke tepi tebing sungai, apa yang didapatinya ialah seekor ikan tapah yang besar, Kaduk pun berlari ke dangau dan mengambil mata tuai yang terselit dicelah atap lalu dibelahnya perut ikan tapah tersebut dan keluarlah emas dengan banyaknya. Kaduk bersyukur dan beranggapan itu adalah rezeki daripada Tuhan

Maka Kaduk pun menjahit perut ikan Tapah tersebut dengan menggunakan jarum patah dan berbenangkan tali dari batang bemban lalu melepaskan ikan itu semula ke dalam sungai. Semasa inilah Kaduk melafazkan sumpahnya yang berbunyi:

"Mulai hari ini dan kehadapan, aku tidak menyabong lagi, dan aku, anak isteri aku, cucu-cicit aku, piyat-piyut aku, empas-empas endaun, entahkan ia entahkan bukan tidak boleh memakan, menganiaya atau mengkianati akan Ikan Tapah. Barang siapa melanggar sumpah ku, akan mendapat sakit gatal, melecur dan bengkak-bengkak, kiranya tahan badan tidak selamat hidupnya."

Ikan Tapah itu terus menyelam dan timbul sekali seolah mengucap selamat tinggal dan kemudiannya hilang ke dalam air.

Kaduk pun pergilah mengadap Sultan dan menebus kampung halamannya dan anak isterinya, dan bakinya sebahagian disimpan untuk menyara hidupnya dan sebahagian lagi dibawa ke Kampar untuk dijadikan barangan perhiasan, kerana di zaman itu tukang emas hanya berada di Kampar Sumatera sahaja.

Adalah difahamkan bahawa ada keturunan Kaduk yang tidak boleh melintasi asap masakan isteri jika yang dimasak itu adalah ikan Tapah. Setelah segalanya selesai Kaduk tidak menyabung lagi dan hiduplah Kaduk dalam aman damai dan sentiasa mensyukuri rezeki yang diberikan Allah serta melakukan amal ibadah dengan taatnya sehingga berlaku perkara-perkara luar biasa

Di antaranya Sultan Perak melantik Kaduk menjadi Orang Besar Jajahan yang membawa gelaran Tok Tua Sakti yang mana tugasnya memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada Datok Bendahara Garang mengenai selok belok tempat di Aceh dalam usaha membawa pulang Puteri Limau Purut dari Istana Aceh sebagaimana dalam kisah Megat Terawis.


Pemegang Amanah Emas Kancing Ikan Tapah



Kepada anak cucu Kaduk, sebagaimana disebut dalam sumpahannya dan telah terkena penyakit yang disebutkan kerana memakan, mengkhianat secara sengaja atau tidak sengaja, terkena air-air dari Ikan Tapah maka ubatnya ialah dengan menyapu atau meminum air yang direndam Kerongsang Emas Tapah sebagai penawar bisa sumpahan tersebut.

Emas Kancing adalah satu-satunya saki baki emas Ikan Tapah yang masih ada, ianya berbentuk Empat Segi Iris Wajik digunakan sebagai Keronsang baju wanita. Jumlah yang ada sekarang ialah sebanyak tiga keping dan inilah digunakan sebagai penawar kepada cucu atau keturunan Kaduk jika terkena bisa Ikan tapah.

Sekarang Emas Kerongsang (emas kancing) Ikan Tapah dijaga oleh salah seorang keturunan Tok Kaduk yang bernama Hajah Hasmah Binti Pandak Logam atau waris-waris terdekat.

Mengikut salah seorang keturunan Tok Kaduk ini terdapat salasilah keturunannya yang masih disimpan oleh para waris tersebut iaitu salasilah yang dipanggil Moyang Empat Datuk Lapan.


Wallahualam


No comments:

Post a Comment